Monday, April 28, 2008

hukum menjual hamster,gerbil,arkus etc

Apa hukum berjual beli hamster,gerbil,arkus dan lain lain haiwan peliharaan seumpamanya menurut syariat Islam?

Umumnya sebahagian orang menimbulkan keraguan tentang berjual beli benda benda yang tidak dimakan oleh masyarakat Muslim, khususnya di Negara kita,seperti jenis jenis haiwan yang kita sebutkan di atas. Sebahagian masyarakat mungkin memahami, apa apa benda yang tidak boleh dimakan-kalau benar ia haram dimakan, maka tidak boleh juga diperniagakan. Namun apakah benar hakikatnya begitu?

Tikus: Halal atau haram??

Umumnya haiwan haiwan yang kita sebut di atas, persepsi masyarakat ke atasnya ialah semuanya dari keluarga tikus. Oleh itu, perkara pertama yang kita teliti ialah, status tikus itu sendiri.

Diriwayatkan oleh imam bukhari dan muslim,drpd aisyah r.a, sesungguhnya nabi s.a.w bersabda: lima jenis haiwan yang mendatangkan mudarat, bunuhlah ia walaupun dlm waktu ihram: gagak, burung had-ah, kala jengking, tikus dan anjing yang menyerang(sprt anjing liar,gila dsbgnya).

Daripada hadis di atas, ulama menyimpulkan bahawa diharamkan memakan haiwan haiwan yang disebutkan,iaitu haiwan yang disunatkan kita membunuhnya kerana mudarat yang ada padanya. Dan salah satu daripada haiwan ini adalah tikus.
(Fiqhu al-manhaji, bab al-athimah wa al-asyribah, ma yahillu min al-at’imah wa ma yuhramu-bab makanan dan minuman,apa yang halal drp makanan dan apa yang haram, jilid1.ms 500-501)

namun begitu, terdapat juga beberapa haiwan yang menyerupai tikus, dan digolongkan sekeluarga dengan tikus, yang harus memakannya. Contohnya tikus jerboa(inggeris:jerboa, arab: Yarbu’- sejenis haiwan menyerupai tikus, tetapi lebih panjang ekornya,demikian juga telinganya, dan kaki belakangnya lebih panjang dari kaki hadapannya).
(Fiqhu al-manhaji, bab al-athimah wa al-asyribah, ma yahillu min al-at’imah wa ma yuhramu-bab makanan dan minuman,apa yang halal drp makanan dan apa yang haram, jilid1.ms 499)

Terdapat dalil khusus yang mengharuskan memakan haiwan ini, iaitu riwayat daripada umar bin al-khattab, diriwayatkan oleh imam al-baihaqi dlm sunan al-kubro, dan imam as-syafi’I dalam tartib al-musnad, bahawasanya umar membayar diah semasa haji kerana membunuh tikus jerboa ini,dengan seekor kambing betina. Kata ulama,ini menunjukkan bahawa jerboa adalah haiwan buruan yang dimakan.
(al-bayan fi mazhab imam as-syafii,bab al-ath’imah, masalah- fi akala al-arnab,wa al-qunfud, wa ghirihima- baba makanan, pada memakan arnab,hedgehog dan selain keduanya, jilid 4, ms 502)



Hamster dan gerbil, dari sudut kehidupan dan habitat lebih menyerupai haiwan jerboa ini, yang menghuni gurun dan kawasan tandus dan kering. Jadi harus mengqiyaskan haiwan ini dengan jerboa,sebagaimana disamakan orang dengan tikus.jadi bagi yang mengqiaskannya dengan tikus biasa, memakannya adalah haram, dan jika diqiaskan kepada jerboa, harus memakannya.

Hukum Menjual

Salah satu syarat yang ditetapkan pada sesuatu barang yang hendak dijual adalah, keadaan benda tersebut boleh dimanfaatkan dari pandangan uruf dan diharuskan oleh syara’. Maka tidak sah menjual serangga atau haiwan berbahaya yang tidak boleh dimanfaatkan, atau tidak mendatangkan manfaat dari pandangan adapt. Demikian juga alat alat muzik yang dilarang oleh syara’ menggunakannya. Semua ini kerana menghabiskan harta untuk benda benda yang tidak ada manfaat termasuk dalam membazirkan harta, dan membazirkan harta itu adalah dilarang.

Diharuskan menjual harimau bintang untuk dilatih memburu, gajah untuk peperangan,kera untuk menjaga rumah,lebah untuk madunya, dan seumpamanya, kerana ia mendatangkan manfaat dr pandangan adat dan syara’, dan tidak riwayatkan sebarang larangan menegah menjualnya seperti anjing.
( fiqh al-manhaji, kitab al-bai’, arkan albai’-kitab jual beli, rukun jual beli, jilid 3,ms 13)

Diharuskan juga menjual haiwan haiwan yang tidak dimakan, tetapi mampu memberi manfaat seperti ketenangan melihatnya, seperti apa yang disebut oleh sayyid sabiq di dalam fiqh sunnah; “ dan harus membeli burung kakaktua,merak, dan burung burung yang cantik dipandang, walaupun tidak dimakan,kerana mendengar suaranya dan melihat keindahannya adalah kehendak berbentuk manfaat yang diharuskan syara’.
(fiqh sunnah, kitab albai’,syurut al-bai’-kitab jual beli,syarat2 jual beli. Jilid 4,Ms 31). Burung kakaktua/nuri dan burung merak adalah dua jenis burung tergolong dalam beberapa spesis burung yang haram dimakan,sebagaimana disebut dalm kitab fiqh manhaji.(lihat fiqh manhaji,jilid 1 ms 502)

Kesimpulan

Kami berpendapat,harus menjual/membeli haiwan haiwan yang disebutkan di atas,jika kita mengqiaskan kepada jerboa yang harus dimakan. Demikian juga jika diqiaskan kepada tikus yang haram dimakan, hukumnya tetap harus, kerana ia boleh memberi manfaat, seperti harusnya membeli harimau,singa,dan gajah-yang haram dimakan sebagaimana disebutkan di atas. Manfaat yang dimaksudkan dalam masalah ini berupa hiburan berbentuk ketenangan dan keseronokan melihat kecomelan dan telatahnya, seperti yang disebut oleh sayyid sabiq dalam hal burung burung yang cantik tetapi haram dimakan. Berhibur dengan memelihara haiwan adalah suatu yang diharuskan, selagi mana ia dijaga dan diberi makan dengan baik,dan tidak melalaikan dari mengingati allah Ta’ala.

1 comment:

Zumna Affendy said...

Tuan Ustaz, saya nak tanya
apa pula hukum memakan kelawar / keluang / kelasah/ kubung?