Monday, April 28, 2008

fitnah SMS

Anda mungkin pernah mendapat pesanan suara begini: “Ustaz, saya dah beritahu kawan kawan tentang kelas malam ini, insya allah magrib kami ada di surau”.

Atau sms begini: “ antara puasa sunat enam hari syawal dengan puasa qadha mana yang lebih aula?” atau : “malam ini ada kuliah di bilik kuliah no sekian sekian..”

Tidak dinafikan teknologi banyak memberi manfaat kepada ummat Islam. Kerana perkembangan pesat teknologilah, hari ini kita dapat mentelaah kitab kitab, mentakhrij hadith hadith dan belajar ilmu agama dengan hanya menggunakan menekan papan kekunci dengan hujung jari jemari. Ceramah ceramah dan kuliah dapat diiiklankan dengan pantas hanya dengan menaip keypad telefon bimbit. Namun kepesatan teknologi juga, jika tidak dimanfaatkan dengan cara yang sepatutnya, pantas menghanyutkan manusia dalam arus kemungkaran. Hanya dengan memiliki telefon bimbit, bukan hanya gambar, tapi klip klip video kemungkaran dapat dirakam,ditatap dan ditukar tukar sesama rakan, tanpa memerlukan pemain vcd atau dvd lagi.

Kepesatan teknologi juga mempengaruhi gaya hidup kita.penulis suka untuk mengambil budaya coupling sebagai contoh. Satu ketika dahulu, seperti yang sering dilihat dalam filem filem melayu lama,teruna dan dara perlu melalui susah payah untuk berhubung dan bersua. Daripada mengetuk botol tanda waktu pertemuan,hinggalah ke surat surat berisi haruman hakiki dan majazi, kemudian barulah dapat bertemu memadu kasih bersama.

Zaman itu berlalu apabila teknologi telefon tersebar luas. tidak payah lagi membeli kertas kajang ,pen dan bedak wangi untuk meluah rasa. Bila setiap rumah ada telefonnya, makin mudahlah untuk berhubung dan meluah rasa. Bagi yang punyai sedikit rasa malu untuk melakukannya di rumah,maka pondok pondok telefon jadi sasaran. Belilah kad telefonnya, atau kumpul saja syiling, maka dapatlah melepas rindu dendam pada si dia.

Kemudian zaman teknologi tanpa wayar pun bermula-telefon bimbit. Pada mulanya hanya golongan yang bekerja memilikinya. Lama kelamaan para pelajar universiti dan kolej, dan akhirnya pelajar sekolah. Ditambah pula lagi dengan adanya internet, tambah mudah lagi untuk mencari teman. Masuk saja laman sembang atau chatting, letak saja nama yang menarik, dalam seketika sahaja dapatlah teman.. maka bila no telefon bimbit diberi, tidak payah lagi menghadap pc atau laptop untuk berbual. Gunakan sahaja SMS, hanya kita berdua sahaja yang tahu apa isi mesej telefon kita.

Sama ada ia merupakan ancaman terancang musuh Islam, atau ia kebetulan yang disebabkan alpanya orang islam sendiri, fitnah teknologi SMS akhirnya berjangkit pada golongan yang dulunya kelihatan agak sukar untuk mendekati budaya kasih saying remaja. Kata orang golongan anta anti. Maklumlah, untuk keluar berdating, tidak sekala kali kerana imej akan tercemar dengan perbuatan itu. Nak berbalas surat atau menghadap pc untuk berchatting sampai jauh malam di cyber café, risiko untuk terkantoi agak besar juga. Tapi sms dengan telefon bimbit hak peribadi, ada privacy. Sambil pura pura tidur di atas katil, sms demi sms bertukar antara dua insan.

SMS sememangnya ancaman besar bagi golongan yang dahulunya menjadi contoh buat rakan sebaya. Ia mampu mendorong golongan ini bersikap hipokrasi, atau mungkinkah kita label seakan akan memiliki sifat munafiq?. Zahirnya masih seperti dahulu, namun batinnya hanya Allah yang tahu. Di sebalik kopiahnya, atau tudungnya, siapa tahu kandungan sms di dlm telefon bimbitnya.
Ini bukan satu rekaan berbentuk tohmahan, mahupun serangan mahu menjatuhkan. Namun ia satu hakikat yang perlu kita ambil perhatian. Dengan SMS, bermulalah peringkat peringkatnya yang mulanya sering bermula dengan kebaikan, dan akhirnya bercampur dengan kebatilan.


Ada yang memulainya ketika menyertai persatuan atau gerakan. Atau aliran Peringkat pertamanya, sms masih berkisar kebaikan. Unjuran persoalan agama, waktu mesyuarat atau program, mungkin juga kuliah kuliah tafaqquh. Di tempat tempat ini mereka bertemu secara tak sengaja, terpandang secara tak sengaja, pandangan dimaafkan kata orang.

Peringkat keduanya hal hal persatuan,ilmuan,gerakan perlahan lahan berubah manjadi sesi kaunseling peribadi. Contohnya, Kenapa tadi dekat kuliah/meeting muka awak nampak muram,ada problem ke? Ceritalah mana tahu ana boleh tolong. Kebetulan masalahnya selesai dengan kaunseling sambilan tadi. Maka di sesi kuliah/mesyuarat seterusnya dilemparlah senyuman buat penghargaan. Senyuman ikhlas tadi telah dihiaskan oleh tentera tentera general iblis hinggakan lekat di dalam memori. Maka malamnya sekali lagi sms manjadi wasilah.

Peringkat ketiga akan menyaksikan persahabatan rapat terjalin. Yang akhirnya membawa kepada ikatan tidak rasmi sebagai future zaujah. Bagi yang kuat imannya, alhamdulillah dia dapat menyelesaikannya di sini dengan membuat ikatan rasmi seperti bertunang. Namun ada yang masih belum bersedia, jadi buat ikatan tidak rasmi dahulu.

Peringkat keempat menyaksikan mesej mesej menyentuh jiwa. Daripada tema ukhuwwah fillah, ia berubah tema kepada copy-paste lirik lirik nasyid jiwang. Kemudian akhirnya yang tinggal bezanya dengan orang lain di luar sana hanyalah perkataan anta anti. Rindu,sayang,hinggalah bayangan berdua duaan semuanya hampir sama. Di peringkat ini para petugas iblis tersenyum sampai ke telinga, mendabik dada melihat kejayaan di depan mata.

Bagi yang tidak menyertai sebarang persatuan, mereka masih belum selamat. Di sana terdapat strategi kedua. Muncul seorang insane berlainan jantina dari ceruk mana menghantar sms menanyakan hal ehwal agama. Peringkat peringkat seterusnya berlaku sama sahaja seperti di atas. Tapi risiko untuk sms yang lebih dahsyat amat tinggi dalam hal ini, kerana pasangannya mungkin dari golongan yang tidaklah berilmu sepertinya. Silap gaya, yang mahu berdakwah di awal tadi akhirnya tersangkut umpan yang dipasang mad’unya!!

Berlindunglah kita dengan Allah dari terjebak dengan fitnah sms ini. bagi yang telah terjebak, kembalilah ke pangkal jalan. Bagi yang baru sahaja bermula, hentikanlah segera. hati hatilah ketika menggunakan teknologi, agar kebaikan tidak bercampur dengan kebatilan, seterusnya menjerat kita sendiri. Berjalanlah di atas landasan lurus yang disuluhi cahaya al-Quran dan as-sunnah, biarlah terkoran sebahagian nikmat duniawi demi nikmat ukhrawi yang abadi. 

No comments: