Monday, April 28, 2008

hukum menjual kucing

Perbincangan masalah di dalam kitab kitab fiqh


Kitab Bahru al-mazi syarah sahih at-tirmizi
Hadis larangan memakan harga kucing dan status hadis tersebut

Diriwayatkan daripada Jabir , dia berkata: nabi s.a.w telah melarang daripada harga anjing dan kucing.

Menurut imam at-Tirmizi, hadis ini terdapat idtirab pada sanadnya, dan tidak sah pada lafaz harga kucing. Hadis ini telah diriwayatkan daripada al-A’mash, daripada setengah sahabat sahabatnya daripada Jabir. Dan Idtirab mereka itu adalah pada al-A’mash pada riwayat hadis ini.

Satu lagi hadis yang dikeluarkan oleh at-tirmizi yang berkaitan dengan hal ini ialah hadis yang berbunyi, “ Nabi melarang daripada memakan kucing dan harganya”. Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah, imam at-tirmizi menyebutkan hadis ini sebagai hadis gharib.

(Bahrul Mazi, imam al-marbawi, jilid 9, bab karahiyah thamanu al-kalb wa as-sinnaur-tegahan harga anjing dan kucing, ms 205 dan 206)

Hukum menjual kucing kampong(peliharaan) dan kucing hutan.

Kata imam nawawi di dalam syarh al-muhazzab:
“ berjual kucing kampong itu harus ia dengan tiada khilaf di sisi kita syafi’i. melainkan barang yang menghikayat akan dia oleh imam bughawi di dalam kitabnya syarah mukhtasar al-muzni daripada Abi al-as, bahawasanya berkata ia tiada harus jual kucing kampong itu. Maka perkataan itu syaz lagi batil ditolak kan dia. Bermula yang masyhurnya ialah harus, dan dengan pendapat inilah berkata jamhur ulama, dan telah menaqalkan akan dia oleh al-qadi iyadh daripada jumhur.

Dan kata ibnu al-munzir: “ telah ijama umat islam atas harus mengambil kucing itu dibuat haiwan peliharaan, dan telah berkata tiada mengapa menjualnya oleh ibnu abbas dan ibnu sirin dan al-hakim, dan hammad, malik, sufyan at-thauri,imam as-syafi’I,imam ahmad, ishaq, abu hanifah dan sekalian ahli Ra’yu.

Dan telah ditegah oleh satu puak drpd ahli ilmu menjual kucing itu, antaranya Abi Hurairah,Mujahid,Tawus, dan jabir bin yazid.

Kata ibnu al-munzir: “ jika thabit hadis tegahannya daripada nabi s.a.w akan jualnya maka menjualnya itu batil, dan jika tidak thabit maka menjualnya itu harus”.

(Lihat Bahrul Mazi, imam al-marbawi, jilid 9, bab karahiyah thamanu al-kalb wa as-sinnaur-tegahan harga anjing dan kucing, masalah 207, ms206)

Hujah para ulama dalam masalah ini

Hujah ulama yang melarang

Hadis Abi Zubair, katanya aku telah bertanya kepada jabir tentang harga anjing dan kucing, maka katanya ditegah oleh nabi s.a.w daripada yang demikian itu. Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim.

Hujah ulama yang mengharuskan

Kucing itu suci lagi orang mengambil faedah dengannya,dan didapati padanya sekalian syarat jual dengan khiyar. Maka harus jualnya sebagaimana binatang keldai dan baghal.

Adapun hadis riwayat muslim di atas, maksudnya adalah sebagaimana yang berikut:
Pertama: berkata Abi al-abbas ibnu al-as dan abi sulaiman al-khatabi, al-qaffal dan lain lainnya, larangan di atas adalah tegahan ke atas kucing hutan (as-Sinnaur bermakna kucing hutan) maka tiada sah jualnya kerana tidak ada manfaat. Melainkan ada pendapat lemah yang mengatakan harus memakannya.

Kedua: tegahan yang dibuat tidak sampai kepada haram, tetapi tegahan yang hampir kepada harus.(tegahan tanzih),yang dikehendaki tegah atas adat, tidak mengapa jika dilakukan, kerana ia merupakan kemahuan /kebiasaan mereka pada adat.

(Lihat Bahrul Mazi, imam al-marbawi, jilid 9, bab karahiyah thamanu al-kalb wa as-sinnaur-tegahan harga anjing dan kucing, masalah 207, ms206)


kitab Subulus Salam syarh bulughul maram

“Tegahan ke atas harga anjing adalah disepakati berdasarkan hadis ibnu mas’ud, dan Muslim bersendirian dalam meriwayatkan tegahan ke atas harga kucing, dan asal tegahan itu adalah haram.

Adapun jumhur, mereka bersepakat atas pengharaman menjual anjing secara mutlaq, tetapi mereka berselisih pada hal kucing. Sebahagian ulama berpendapat adalah haram menjual kucing, antaranya Abu hurairah, Towuus dan Mujahid, manakala jumhur berpendapat harus menjualnya jika ia mendatangkan manfaat. Adapaun tegahan dalam hadis adalah tegahan dalam bentuk tanzih-yakni tegahan yang hampir kepada harus…”

(Lihat Subulussalam syarh bulughul maram, imam as-san’ani, jilid 3, cetakan dar as-sadir,Beirut,cetakan pertama 1998, kitab al-buyu’, bab syurutahu wa ma nahiya anhu, tahrim thaman al-kalbi wa as-sinnaur- kitab jual beli, bab syarat syaratnya dan apa yang dilarang daripadanya, pengharaman harga anjing dan kucing)

Kitab al-bayan ala mazhab as-syafi’i

Harus menjual kucing, dan diriwayatkan yang demikian itu daripada ibnu abbas r.a.
Dan diriwayatkan daripada Abi hurayrah r.a., towuus,mujahid dan jabir b zaid r.h: (sesungguhnya mereka memakruhkan menjualnya).

Dalil kami: ia haiwan yang bersih yang boleh diambil manfaat darinya, maka harus menjualnya seperti biri biri.

(al-bayan fi mazhab al-imam as-syafi’I, syarah kitab al-muhazzab kamilan, wa al-fiqhu al-muqaran, karya Abu Husain Yahya bin abi al-khair salim al-imrani as-syafi’i, cetakan dar al-minhaj, kitab al-buyu’, bab ma yajuzu bai’uhu wa ma la yajuzu bai’uhu, masalah jawaz bai ma yantafi’u bihi, far’u bai’ as-sinnaur- kitab jual beli, bab apa yang diharuskan menjualnya dan apa yg dilarang, masalah harus menjual apa apa yang mendatangkan manfaat, pecahan menjual kucing, jilid 5 , ms 61)

No comments: